BUKU INDIE DARI PENERBIT ALTERNATIF DI MALAYSIA

Hi semuanya, seperti yang anda baca tajuk, ye betul, posting kali ni saya akan bercerita mengenai minat utama saya iaitu novel! Disebabkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ni telah ditunda, maka saya telah membuat keputusan untuk menulis mengenai buku. Alang-alang kita semua kena kuarantin di rumah disebabkan oleh Coronovirus ini, eloklah kiranya saya membuat posting mengenai buku ini, lepas dah baca posting saya ni, bolehlah ramai-ramai pakat membaca buku yang akan saya rekomen nanti.

Mari kita mulakan penceritaan. Posting kali ini saya tidak akan bercerita mengenai buku dari penerbit yang terkenal yang mengeluarkan novel-novel cinta seperti Buku Prima, Alaf21 dan PTS Publications. Saya percaya bahawa kita semua pernah membaca buku-buku terbitan penerbit di atas. Saya juga sama, apatah lagi ketika baru memasuki sekolah menengah pada umur 12-14 tahun. Novel-novel cinta ni dulu merupakan hiburan bagi remaja-remaja perempuan di sekolah. Tapi kali ni saya takkan bercerita mengenai penerbit tersebut, tapi saya akan bercerita mengenai penerbit buku alternatif. Yes everyone, you read it right. Mengapa dan bagaimana saya boleh beralih dari membaca novel-novel cinta kepada buku-buku dari penerbit alternatif? Siapa je penerbit buku alternatif tu? Alternatif? Apa maksudnya? Banyak betul persoalan tu, sabar saya akan beritahu kepada pembaca yang dikasihi.

Penerbit buku alternatif atau beberapa orang sebut buku indie kat Malaysia sekarang ni dah tak asing lagi. Tetapi kalau 10 tahun lepas, tak ramai yang tau mengenai penerbit alternatif ini. Mengapa buku alternatif? Sebabnya, jika dibandingkan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, gaya penulisan buku indie ini bersifat lebih santai dan tidak begitu formal. Buku indie ini lebih memfokuskan mengenai idea penulis itu tanpa dikongkong oleh tatabahasa dan syarat-syarat penulisan. Penulis bebas menulis apa sahaja yang mereka ingin sampaikan dengan gaya penulisan yang lebih santai yang lebih mudah dibaca oleh para pembaca. Sekarang ni, boleh dikatakan buku dari penerbit alternatif ini lah yang menggalakkan minat membaca dalam kalangan remaja. Bermacam-macam jenis genre yang disampaikan oleh penulis melalui buku yang diterbitkan seperti thriller, keagamaan vs sains, puisi, dan sains fiksyen tetapi dengan cara penulisan yang tidak berat. 

Jadi, sekarang saya akan perkenalkan beberapa penerbit buku alternatif yang ada di Malaysia. Saya yakin ramai je pernah dengan nama-nama ni:

1. FIXI
Buku keluaran FIXI ni sangat unik sebabnya semua tajuk buku FIXI ni cuma satu perkataan je. Takde tajuk buku yang panjang berjela-jela. FIXI pun sangat-sangat terkenal dengan trilogi iaitu buku yang mempunyai 3 sambungan.
Buku-buku dari FIXI ini lah yang ramai remaja baca sekarang. FIXI bolehlah dikatakan sebagai pelopor terhadap pengeluaran buku-buku dari penerbit alternatif lain. Kalau perasan, dekat MPH pun dah ada banyak sangat buku FIXI. Kalau dulu, susah betul buku genre macam ni dapat masuk kedai buku besar macam MPH. Buku FIXI pertama yang saya baca yang membuatkan saya minat sangat dengan buku dari penerbit alternatif ialah Bisik dari Syaihan Syafiq. Buku ini mengenai bagaimana trauma masa dulu menyebabkan watak utama bertukar menjadi pembunuh kejam.

Disebabkan saya suka movie thriller, jadi saya memang minat hampir kesemua novel-novel keluaran FIXI. FIXI juga lah yang menemukan saya dengan penulis kegemaran saya, Hasrul Rizwan atau nama penanya Mat Gorn. Buku kedua dari FIXI yang saya baca iaitu Murtad yang ditulis oleh HR yang membuatkan kita berfikir sama ada perbuatan membunuh orang murtad adalah berasas atau tidak dan sama ada dibenarkan atau tidak. Buku ini sangat menarik, ditambah pula dengan loghat Kedah yang dimasukkan oleh HR, walaupun novel aksi sebab ada lawan tembak-tembak tapi ada juga diselitkan dengan komedi sikit. Buku Murtad ramai yang minat even sampai sekarang masih lagi bestseller, so akhirnya HR keluarkan sambungannya iaitu Tuhan dan Qisas. Mula dari sini lah saya baca hampir kesemua buku keluaran FIXI. Cerita hantu pun ada. Selain Trilogi Murtad, ada banyak lagi buku yang menarik.

Sesi tandatangan bersama Hasrul Rizwan

Buku genre mistik bestseller dan menjadi kegilaan remaja semasa di sekolah menengah

Buku-buku daripada FIXI
 

2. Rabak-Lit
Rabak-Lit atau Rabak Literature Publication menerbitkan buku-buku berkaitan muzik, puisi dan sajak. Untuk sesiapa yang minat puisi, atau nak bacaan yang ringan tak terlalu berat boleh cari buku terbitan Rabak-Lit. Buku yang paling saya suka dari Rabak-Lit ialah 7 Tahun 7 Hari karya Diana Nuzuin. Buku yang realistik yang mengisahkan tentang perjalanan hidup dan cinta seorang remaja perempuan dalam 'broken family'. Buku yang saya boleh baca berkali-kali tanpa rasa bosan. Buku lain yang menarik seperti Diari Nona Gila tulisan Takahara Suiko iaitu pelajar Malaysia yang belajar di Jepun tetapi meminati musik dan Bahasa Melayu asli.

Petikan daripada buku 7 Tahun 7 Hari

3. Dubook Press
Dubook Press memfokuskan terhadap buku genre fiksyen, bukan fiksyen dan juga puisi. Sama seperti penerbit alternatif lain, bahan bacaan bersifat ringan dan tertumpu kepada remaja yang berumur 16-30 tahun. Salah satu buku yang saya suka dari penerbit ini ialah Budak Hostel Otaknya Sewel sebab ditulis oleh Hasrul Rizwan, penulis kegemaran saya hehehe. Novel ini pertama kalinya HR 'lari' dari genre yang biasa dia tulis iaitu aksi dan sains fiksyen. Kalau rasa perlukan gelak tawa dalam kehidpun, boleh baca novel BHOS, mesti akan terhibur. Buku yang lain yang bukan fiksyen yang menjadi kegemaran saya ialah Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir yang merupakan graduan dalam bidang perguruan. Buku yang membuka mata saya mengenai sistem pendidikan di Malaysia dan penulis turut menulis mengenai ideanya untuk menjadikan pendidikan di Malaysia menjadi lebih berkesan. Terdapat juga buku yang ditulis oleh sekumpulan doktor yang pakar dalam bidang masing-masing iaitu Diagnosis. Bercerita mengenai perubatan dalam gaya penulisan yang sangat mudah difahami oleh orang awam.




Ini merupakan antara penerbit buku alternatif yang ada di Malaysia. Ada banyak lagi penerbit alternatif lain macam Buku Hitam, Selud/Sang Freud Press, Roman Buku, Karya Tinta dan banyak lagi. Kalau rasa nak cuba baca buku terbitan penerbit alternatif ini, boleh beli secara atas talian di lejen.my

Cuti 2 minggu ini manfaatkan sebaik mungkin dan jangan lupa #StayAtHome. Jaga diri dan jaga kesihatan. Terima kasih kerana baca blog saya. Jumpa di posting berikutnya. XoXo.

Comments

  1. Salam Aini,
    Wow menarik ni. antara byk2 penerbit buku indie kat atas saya pernah dengar dubook je :)
    Thanks for the recommendation. and that paragraph about love is so deep!
    Good job keep it up!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam puan fiza. Tak sangka puan pun tau jugak pasal penerbit buku indie. Btw, thank you puan fiza :)

      Delete

Post a Comment

Popular Posts